Resepi Orang Kedah : Laksa Utara Yang Paling Sedap | Assalammualaikum wbt. Hari ni umi nak share resepi Laksa yang adik ipar buat tempohhari sewaktu dia sekeluarga bertandang ke rumah.  Adik ipar tu memang pakar membuat laksa ni dan setiap kali hari raya atau kami balik ke kampung, memang dia la yang akan ambil tugas membuat laksa. Sedapnya memang tak boleh challenge dengan kat mana-mana apatah lagi kampung dhubby ni kat Kerpan yang mana boleh dapat ikan yang segar baru naik dari laut.  Yang pelik orang kampung kat sini memang tak jemu dengan laksa.  

Ramai orang fikir yang laksa Kedah dan laksa Penang ni sama tapi tidak ya.  Laksa Penang selalunya menggunakan daun salad tapi kalau laksa Kedah menggunakan daun ulaman antaranya mesti ada selom yang dihiris halus. Sebagai orang Kedah jati, en dhubby ni kalau tak dipelawa makan laksa Penang pun dia tak kesah. Kalau sesiapa yang pernah makan laksa di Kuala Perlis, ada kedai yang menambah sambal kelapa yang dikisar halus diletakkan sejemput diatas laksa, mulanya rasa pelik tapi bila dah makan, memang sedap dengan lemak isi kuah laksa dan lemak sambal kelapa yang basah-basah dan halus kisaran tu.


Resepi Laksa Kedah Adik Ipar Yang Memang Sedap Tak Sangga

Memang sedap sampai lupa nak ambil gambar semasa proses membuat kuah laksa ni.  Mujur sempat ambil gambar sebelum dikunyah masuk mulut. Sepatutnya letak kuah dulu baru tabur ulaman tapi dek sebab lapar dan menggoda laksa ni, lupa nak buat presentation yang lebih menarik.

Resepi Orang Kedah : Laksa Utara Yang Paling Sedap

Bahan-bahan:-
1 bungkus laksa kasar (besar) - direndam dan direbus
1 kg ikan sardin / kembung / pelaling
3 ekor ikan tongkol *
4 ulas bawang merah
20 biji cili padi - kalau suka lebih pedas boleh tambah
4 keping asam keping
2-3 tangkai daun kesum
2 batang bunga kantan - dibelah
2 inci belacan
Aji-no-moto

* ikan tongkol digunakan untuk memberi kuah tu lebih gelap dan memekatkan kuah


Bahan ulam (dipotong halus dan halus):-
Daun pucuk gajus,
Daun selom
Daun pucuk putat
Timun
Cili padi
Bawang besar


Bahan hiasan: -
Telur rebus
Limau nipis - dipotong


Cara membuatnya:-
  • Rebus ikan dengan asam keping, diperisi dengan mengasingkan isi dengan tulang. Isi ditumbuk halus atau boleh dikisar. Tulang ikan dikisar bersama air rebusan ikan, ditapis untuk ambil airnya. Tapis 2, 3 kali sampai tulang yang hancur tu nampak putih.
  • Kisar cili kering, cili padi, bawang merah dan belacan dengan sedikit air.
  • Masukkan bahan yang dikisar dan direnih didalam periuk hingga nampak agak kering.  Bila dah nampak sudah masak dan agak kering, campurkan isi ikan, air tapisan tulang ikan dan serai sekali. Rebus hingga betul-betul masak jika tidak kuah nanti akan cepat basi. 
  • Masukkan air jika terlalu pekat, direnih dengan api perlahan dan dikacau supaya sebati dan rata.
  • Masukkan asam keping, bunga kantan, daun kesum dan rebuslah sehingga mendidih. Disarankan supaya kuah direnih lama supaya kuah menjadi mesra dan lebih sedap. Perasakan garam secukup rasa.


Tip cara menghidang:-
  • Letakkan laksa yang direbus dalam pinggan dan tuang kuahnya yang masih panas. Tabur ulam-ulaman, cili padi dan telur rebus. Perah sedikit limau dan sedia untuk dimakan.
  • Ada sesetengah orang suka makan laksa dengan meletakkan sedikit kicap pekat manis atau pun petis (otak udang) tapi tidak bagi saya sebab manis. Selera semua orang berbeza kan. Jom makan


Selamat menjamu selera.